Pengenalan kepada Akta Anti Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid
1. PENDAHULUAN
Sering kali umum diuar-uarkan, malah ramai diantaranya ditawarkan dengan janji manis untuk memperoleh hasil lumayan dengan mudah, pada kadar paling segera, tanpa modal berskala mega. Siapa yang tidak tertarik, dalam marcapada yang cukup mencabar untuk sekalian ketua keluarga memastikan sesuap nasi di atas meja dan wang saku cukup untuk anak isteri keluar berbelanja, pastinya tawaran cepat kaya seperti ini datang seperti serampang dua mata. Namun walaupun tawaran sebegini ibarat sinar keluar dari kegelapan dengan menghantar mesej masyarakat tidak perlu lagi membanting tulang bagi mencari ikhtisas menyara diri dan keluarga, jangan mudah terpedaya, kekayaan sesungguhnya hadir dengan usaha, bukan dengan manifestasi-manifestasi mimpi yang termakbul dalam tempoh tujuh hari bekerja.
2. PENGENALAN KEPADA SKIM CEPAT KAYA, SKIM PIRAMID DAN AKTIVITI JUALAN LANGSUNG
2.1 Skim Cepat Kaya
Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2009: Larangan Penglibatan Pegawai Awam Dalam ‘Skim Cepat Kaya’, ‘Skim Cepat Kaya’ bermaksud satu bentuk pelaburan yang menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan bebas daripada sebarang risiko, yang tidak berdaftar dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna atau pihak-pihak berkuasa lain. Skim ini juga termasuk sebarang bentuk pelan/aktiviti pelaburan yang menyalahi undang-undang walaupun dijalankan oleh institusi berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkenaan.
2.2 Skim Piramid
Skim cepat kaya terdiri dari beberapa modal penggerak utama. Antaranya, Skim Piramid. Secara harafiahnya, Skim Piramid ialah bentuk pelaburan yang bergantung sepenuhnya kepada pulangan perjanjian yang tidak realistik. Seperti sebuah rantaian, setiap pelabur yang mahu memasuki skim ini perlu mengeluarkan sejumlah wang, dan pelabur sedia ada akan memperoleh pulangan setiap kali pelabur baru mengalir masuk. Akhirnya, setelah tiada lagi pelabur baru yang boleh diserapkan dalam skim ini, piramid yang dibina hasil daripada rantaian aliran masuk pelabur tadi akan runtuh. Dalam variasi Skim Piramid, pelabur di setiap peringkat mengenakan yuran permulaan yang dibayar oleh lapisan pelabur seterusnya. Lazimnya, apabila tiada siapa lagi untuk direkrut masuk ke dalam skim ini, piramid yang dibina akan musnah serta merta.
2.3 Aktiviti Jualan Langsung
Aktiviti jualan langsung boleh dimaknakan sebagai suatu kegiatan pempromosian produk ataupun perkhidmatan secara langsung yang dilakukan oleh Syarikat mahupun individu kepada pengguna di kawasan awam atau di rumah pengguna. Pemasaran di bawah jualan langsung ini biasanya melibatkan pemberian kit-kit produk Syarikat secara percuma, penerangan perkhidmatan bagi menarik perhatian orang awam terhadap perkhidmatan atau produk yang ditawarkan dan sebagainya.
Polemik modal mendapatkan keuntungan segera pada jangka masa paling minima melalui modal-modal seperti Skim Piramid dan jualan langsung bukan sahaja menerjah pasaran lokal malah menggegarkan sarjawagat dunia. Sebab itu, Amerika Syarikat, Great Britain, Australia, New Zealand dan juga Malaysia secara izharnya, telah bertindak mengharamkan Skim Piramid dengan mewartakan undang-undang kerajaannya bagi sesiapa yang bertindak giat dalam modus operandi Skim Piramid ini.
3. AKTA JUALAN LANGSUNG DAN SKIM ANTI-PIRAMID 1993 (AKTA 500)
Menyedari hakikat penipuan dan manipulasi berlaku secara berleluasa melalui modal- modal pemasaran bertingkat, kerajaan telah mewartakan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (Akta 500) (“Akta ini”) bagi tujuan perlindungan kepada para pengguna. Akta ini digubal bagi membuat peruntukan bagi pelesenan orang yang menjalankan perniagaan jualan langsung, bagi pengawalseliaan penjualan langsung, bagi larangan skim atau perkiraan piramid, skim atau perkiraan pengedaran berantai, atau apa-apa skim atau perkiraan yang serupa dengannya.
3.1 Peraturan-Peraturan Akta
Berdasarkan Akta ini, syarikat yang melakukan aktiviti jualan langsung atau Skim Anti- Piramid perlu mematuhi beberapa peraturan antara lain pertama, berdasarkan Seksyen 4 menyatakan kehendak supaya Syarikat untuk mendapatkan lesen untuk menjalankan perniagaan jualan langsung. Syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti jualan langsung atau Skim Anti-Piramid perlu mendaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Kegagalan membuat pendaftaran menyebabkan Syarikat boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Kedua, Seksyen 17 menghalang seseorang untuk bertandang ke mana-mana premis bagi maksud merundingkan jualan pintu ke pintu pada hari dan di antara waktu yang ditetapkan. Selanjutnya, di bawah subseksyen 17(2) menerangkan bahawa sekiranya mana-mana orang yang bertandang ke mana-mana premis bagi maksud merundingkan jualan pintu ke pintu hendaklah dengan segera menyatakan maksud lawatannya sebelum memasuki premis itu. Mereka juga hendaklah meninggalkan premis atas permintaan penghuni premis itu atau mana-mana orang yang bertindak dengan kuasa sebenar atau tersirat daripada penghuni itu.
Ketiga, Seksyen 24 menggariskan kandungan kontrak jualan langsung perlulah jelas dan tepat untuk disampaikan kepada pengguna termasuk jenis barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan, harga, cara pembayaran dan tempoh jaminan produk. Sekiranya sesiapa melanggar peraturan-peraturan dalam Akta ini, mereka boleh didenda atau dipenjara. Bagi syarikat yang gagal mematuhi Akta ini, satu betuk denda dalam jumlah yang tinggi boleh dikenakan.
3.2 Ilustrasi Berdasarkan Laporan Kes
Dalam kes Norihan bt Talib (sued in her personal capacity and trading under the name ‘Tanjung Trading’) & Ors v Mohd Nasir bin Hassan & Ors (suing on their own behalf and for 420 others as per list at ‘Appendix A’) and another appeal[1], Responden-responden telah memulakan tindakan terhadap Perayu-perayu bagi pihak mereka sendiri dan 420 orang lain. Asas tuntutan Responden adalah mereka merupakan ejen dan wakil Perayu-perayu berdasarkan skim pelaburan insurans yang ditubuhkan oleh Perayu-perayu sekitar 2009. Skim yang dikenali sebagai ‘Perniagaan Perkongsian Keuntungan’ ini memberi pelabur atau orang-orang yang membeli perlindungan insurans daripada ejen atau wakil sebahagian komisen yang diterima oleh ejen insurans. Walaubagaimanapun, Perayu-perayu telah berhenti membayar komisen kepada Responden. Responden-responden menghujahkan bahawa perniagaan dan model perniagaan Perayu-perayu sebenarnya adalah pengambilan deposit atau jualan langsung yang tidak berlesen. Di pihak Perayu-perayu, mereka berhujah bahawa oleh kerana tuntutan Responden-responden adalah berdasarkan skim yang tidak sah dan menyalahi Akta ini. Justeru, Perayu-perayu telah memfailkan permohonan membatalkan tuntutan Responden-responden di Mahkamah Tinggi di bawah Aturan 18 Kaedah 19(1)(a) Kaedah- Kaedah Mahkamah 2012 atas alasan bahawa kes yang diplidkan Responden-responden tidak mempunyai apa-apa kausa tindakan terhadap Perayu-perayu. Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Perayu-perayu ini maka, rayuan lanjut difailkan. Di peringkat Mahkamah Rayuan, rayuan Perayu-perayu dibenarkan dimana diputuskan bahawa prinsip undang-undang adalah mantap bahawa mahkamah tidak dapat memberikan sebarang relif terhadap tuntutan yang diasaskan bawah ketaksahan, apatah lagi membenarkan penguatkuasaan hak berdasarkan ketaksahan sedemikian.
Responden-responden dikenalpasti sebagai pari delicto dalam skim yang tidak sah ini. Undang-undang tidak mengizinkan relif yang dipohon bagi satu transaksi yang tidak sah demi melindungi kepetingan awam. Namun, sekiranya keabsahan skim dalam kes ini tidak dipertikaikan, seperkara boleh dijadikan sandaran – idea ‘mengkomersialkan komisen’ dalam mana-mana pelaburan merupakan sebuah salah laku undang-undang dan bilamana perkara ini berlaku, kontrak yang dimasuki adalah sama sekali tidak sah dan mengambil iktibar daripada kes di atas, kontrak yang dimasuki secara tidak sah tidak mudah untuk dilindungi di sisi undang-undang.
3.3 Pengecualian
Perlu ditekankan seperti yang termaktub di bawah Seksyen 1, akta ini tidak terpakai bagi (1) pembeli atau bakal pembeli yang merupakan suatu pertubuhan perbadanan (2) aktiviti jualan langsung atau Skim Anti-Piramid dilakukan oleh organisasi kebajikan atau pihak berkuasa Kerajaan, (3) apa-apa kontrak insurans dan insurans semula yang dikeluarkan oleh seseorang penanggung insurans yang didaftarkan di bawah Akta Insurans 1963 dan (4) apa-apa kontrak takaful dan takaful semula yang dikeluarkan oleh seseorang pengendali takaful yang didaftarkan di bawah Akta Takaful 1984.
4. RUMUSAN
Deduksi bagi keseluruhan perbincangan di atas, kewujudan Akta ini membantu secara signifikan untuk membanteras kemelut mangsa penipuan daripada aktivti jualan langsung dan Skim Piramid. Tuntasnya, dengan wujud undang-undang yang mengikat tingkah laku dalam transaksi jualan langsung dan pelaburan dalam modal Skim Piramid ini, pihak-pihak yang terlibat secara terus wajar mengambil langkah berwasapda dalam membuat keputusan supaya tidak wujud percanggahan dengan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 yang mana sekiranya kesalahan dapat dipastikan, mereka boleh disabitkan kesalahan.
Penulis:
- Nurul Hibbah Abd Khalid
- Muhamad Aryn Rozali
Tarikh Penerbitan: 21 September 2023
Rujukan:
[1] [2018] 3 MLJ 670


